Tuesday, August 2, 2011

Rakyat Sambut Baik Mengundi Di Luar Negara

Sumber dari Utusan Malaysia, sila klik sini.


KUALA LUMPUR 2 Ogos — Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji bagi membolehkan rakyat dan pelajar Malaysia yang berada di luar negara mengundi pada pilihan raya umum ke-13 akan datang menerima maklum balas positif.

Beberapa pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara berkata ia akan membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab untuk mengundi dan memilih kerajaan seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.

Namun begitu ia perlu dilakukan sebaik mungkin dan mengenakan syarat dan peraturan tertentu supaya ia tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Pelajar University of Nottingham, United Kingdom, Anita Adnan, 39, berkata cadangan SPR itu boleh dilaksanakan tetapi semua usaha dan prosesnya perlu telus dan jujur.

Pelajar tahun akhir pengajian Doktor Persuratan itu berkata masalah mengendalikan pengundian berselerak di serata dunia ialah terdapat ruang dan peluang bagi pihak tertentu memanipulasi peti undi dan bilangan undi.

"Ia perlu dilakukan bersistem dan rapi terkawal, kalau tidak ia tidak perlu diadakan langsung," katanya ketika dihubungi melalui laman sosialnya.

Semalam Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata perkara itu kini dalam peringkat kajian, termasuk mendapatkan pandangan Penasihat Undang-undang SPR sama ada langkah itu membabitkan pindaan undang-undang.

Katanya, sekiranya ia boleh dilaksanakan, pelajar dan pekerja Malaysia yang berada di luar negara boleh melakukannya di pejabat kedutaan di luar negara.

Antara masalah yang dihadapi kedutaan ialah kesukaran untuk mengenal pasti alamat sebenar kerana ramai yang tidak mendaftarkan keberadaan mereka kepada kedutaan, kata Abdul Aziz.

Seorang kakitangan swasta sebuah syarikat arkitek di Wellington, New Zealand, Mohd Syafieq Lee Abdullah, 47, berkata beliau bersetuju dengan cadangan itu tetapi pada masa sama proses itu hendaklah dipantau bersama oleh parti pembangkang.

"Syarat ini mesti dipatuhi sama seperti proses yang diadakan di Malaysia," katanya yang berasal dari utara semenanjung yang sudah 20 tahun berkelana sejak mengikuti pengajian di sebuah universiti di Wellington.

Pelajar pasca graduan jabatan akaun Victoria University of Wellington, Nor Balkish Zakaria berkata sekiranya cadangan ini dapat dilaksanakan, ia satu langkah yang ditunggu-tunggu kerana sebagai rakyat Malaysia, mereka juga mahu menunaikan tanggungjawab mengundi yang selama ini tidak kesampaian.

"Mekanisme pengundian perlu telus supaya tidak ada ruang untuk dikritik," kata Pensyarah Akauntansi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat yang sedang menyambung pelajaran di Nottingham, United Kingdom.

Zulazli Mohd Aziz, 39, yang sudah empat tahun berada di perantauan berkata undi di luar negara boleh dilaksanakan, tetapi setiap warga Malaysia yang berada di luar negara perlu menyokong cadangan itu.

Beliau juga mempersoalkan apakah rasional pengundian di luar negara yang dicadangkan, dan adakah ia berbaloi diadakan berbanding jumlah rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengikut peratusan dan statistik.

"Kalau habis duit untuk persediaan mengundi tetapi mereka tidak hadir mengundi bukankah ia satu pembaziran duit kerajaan? Jangan nanti banyak dana yang dibelanjakan hanya untuk mendapat undi yang sedikit," kata bapa kepada tujuh anak itu. — BERNAMA

Nota YMIS: Ramai warganegara Malaysia yang berada di luar samada sedang belajar atau bekerja tidak mempunyai maklumat betul, lengkap dan sahih mengenai iklim politik Malaysia terkini. Mereka lebih banyak membaca dari blog-blog 'sensasi' pro-pembangkang serta youtube yang telah dimanipulasi. Mentaliti rakyat Malaysia di luar negara amat berbeza terutamanya yang bekerja. Antara alasan mereka perlu bekerja di luar negara ialah kerana kerajaan tidak adil, kerajaan tidak menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi, "kalau di Malaysia mana nak dapat gaji sebegini besar", dan kebanyakkan mereka kecewa dengan sistem syarikat. Persoalannya ialah apakah ini semua silap kerajaan atau sistem itu memang amalan syarikat swasta tempat mereka mencari rezeki?

YMIS menyokong cadangan SPR untuk memberikan peluang kepada warga Malaysia di luar negara untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sama-sama mengundi dalam PRU-13 nanti. YMIS mempunyai ramai rakan-rakan yang bekerja di luar negara dan mereka mengikuti setiap perkembangan politik mahupun sosio-ekonomi Malaysia. Mereka boleh membuat perbandingan wajar dan saksama mengenai kehidupan sebagai perantau dan di negara sendiri. Malaysia masih negara terbaik buat rakyat Malaysia, walau hakikatnya hujan emas di negara orang.....

No comments:

Post a Comment