Sunday, March 11, 2012

Azmin Ali Anak Derhaka!

SAMA ada kita kasihan, simpati, meluat atau menyampah dengannya, perkembangan hidup Ummi Hafilda Ali tetap diikuti ramai. Apabila adik bongsu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali ini turun padang berceramah sejak awal tahun lepas, khalayaknya pelbagai. Setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan, Ummi menambah peminat ceramahnya. Intinya berkisar dua isu utama sahaja. Hipokrisi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gengnya. Lebih penting lagi kisah abangnya, Azmin yang masih terus membuang keluarganya.

Saya disuakan oleh Ummi telefon bimbitnya yang tertera beberapa rakaman video yang menampakkan melaut manusia berkopiah, berserban di Pasir Puteh dan Besut. Mereka tidak berganjak, berhenti berborak, asyik mendengar pendedahan Ummi dalam ceramahnya. Menginjak usia 44 tahun, susunan ayat wanita ini teratur demi untuk menjelaskan kebenaran demi kebenaran dalam satu pertemuan dengan saya dan rakan jurugambar, Shahril Azman Mohd. Zain di Mont Kiara Solaris dekat Hartamas, Kuala Lumpur Khamis lalu. Ikuti sedutan luahan Ummi: Tunggulah mak tutup mata Min!

Azmin seorang anak baik. Solat dia jaga, tak pernah tinggal. Dia taat kepada mak bapa. Namun, akhirnya saya (Ummi) kecewa kerana ia bukan sahaja dirosakkan 100 peratus oleh Anwar Ibrahim tetapi 300 peratus. Hari ini saya nak cabar Azmin sudah lapan bulan dia tak balik tengok mak dia. Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji, dia boleh ikuti program Korban Satu Malaysia, tapi mak dia panadol pun dia tak beri. Mak dia, Hajah Che Tom (binti Yahaya, 78) sudah beberapa kali pengsan. Mak uzur.

Saya tweet dia (Azmin) 15 kali pada 6 Februari baru ini, saya tanya kepadanya, kenapa buang mak, buang kakak-kakak. Saya tanya dia kenapa tak jawab. Inilah yang kita pertikaikan. Kalau dia bercakap pasal idealisme, perjuangan dan kepimpinan yang dia nak rampas, kenapa natijahnya buat keluarga ini. Bagi saya ibu adalah jannah (syurga). Azmin marah sebab mak sokong saya. Seorang ibu tak payah pergi universiti kalau nak tahu anak mana yang benar atau mana yang salah. Dan mak tahu saya di pihak yang benar.

Saya cabar Azmin. Kalau dia nak jadi pemimpin, dia kena minta ampun pada mak dan berbaik-baik dengan kakak-kakak dia, Norlia Ali, 54, Intan Dawini, 52. Selepas dua kakak, seorang lagi abang saya, Azman, 50, kemudian Azmin, diikuti kelima, Azwan 45. Mak saya tu sudah tak ada air mata dah. Air mata darah pun tak ada dah. Sejahat mana pun anak dia, dia pun rindukan dia juga. Berpuluh-puluh kali dia telefon Azmin dan bagi mesej, Min, Min ini mak Min. Kenapa dia tak jawab.
Puan Hajjah Che Tom Binti Yahya
Saya tweet dia. Kau kenal tak lagi Hajah Che Tom. Kenapa dia tak respons. Macam mana dia nak jadi pemimpin, kalau nasib mak dan keluarga dia tak bela. Yang saya nampak, Anwar telah merosakkan institusi keluarga. Dan saya salah satu keluarga yang menjadi mangsa percaturan kerakusan politik Anwar.

(Ummi ketika ini sebak) Masa dia (Azmin) belajar di luar negara, saya cukup terharu apabila dia bagi surat yang sokong dan nasihat pada saya. Azmin seorang abang yang baik. Dahulu, semasa saya darjah satu hingga tiga, saya tak pernah bawa beg sekolah, Azmin yang tolong bawakan. Dia cukup sayang pada saya. Tapi hari ni dia maki saya. Kerana Anwar, dia buang saya dan adik-beradik. Saya nak tanya dia, kalau dia terlantar sakit, siapa yang nak bacakan Yasin buat dia. Adakah Nurul Izzah, Anwar atau Dr. Wan Azizah (Wan Ismail). Kalau dia mati, adik-beradik juga yang datang. Saya bersyukur selepas 7 tahun bersengketa dengan Azwan, Alhamdulillah dia kembali ke pangkuan keluarga.

Ini yang saya tekankan kepada Azwan. Keluarga adalah penting Wan. Dan akhirnya Azwan terima hakikat ini. Tapi kenapa Azmin ego, sekalipun dia terhutang budi kepada Anwar kerana kemewahan, kedudukan wang ringgit tetapi bukan kemewahan atau pangkat itu dia nak bawa dalam kubur.

Sejak 1997 lagi dia buang saya. Bukan tujuan saya nak aibkan Azmin. Kalau cuba baca surat saya 14 tahun lalu, saya tulis kepada Tun Dr. Mahathir (Mohamad). Tun, tolong selamatkan abang saya Azmin yang terlalu baik. Kalau saya berniat jahat, kenapa saya tulis tiga perenggan ini. Saya tulis sebab Dr. Mahathir bapa angkat kepada Azmin. Tujuan saya baik tapi tak terfikir pun surat itu akan jadi kes mahkamah. Ini tunjukkan Tuhan mengatasi segalanya. Saya buat surat ini supaya Dr. Mahathir tarbiahkan Azmin dan Anwar.

Azmin bersama 'bos'nya, DSAI
Tapi Azmin anggap ia ancaman untuk dia melangkah lebih jauh dalam politik sehingga menghalalkan segalanya. Saya ingat kata-kata terakhir Azmin kepada kakak-kakak dan saya di rumah Kak Long. Kata dia, bos aku (Anwar) boleh bagi aku berjuta-juta, korang habuk pun tak ada. Kami sungguh terperanjat. Di mana rasionalnya Azmin sebagai anak Ustaz Ali (arwah) yang mengajar al-Quran dan agama. Kenapa dia hilang pedoman. Kenapa duit dijadikan landasan perjuangan dan hala tuju Azmin.

Azmin dibuang keluarga tapi dia buat fitnah di dalam blog-blog pembangkang kata saya anak derhaka, dibuang keluarga sedangkan dia yang dibuang. Bila anak kakak saya kahwin tahun lepas, berkali-kali kami telefon dan mesej dia, tapi tak jawab. Seluruh dunia boleh pergi, kahwin anak saudara sulung tak boleh.

Tentang mak lagi, ada dia ingat nak hantar mak setiap bulan ke IJN (Institut Jantung Negara). Saya yang hantar, kalau tak saya, Intan. Ada suatu masa, mak rindu pada dia. Tapi mak fikir balik, kalau ibu dia boleh buang, jangan sampai bila mak dah tutup mata esok, dia tak sempat nak minta ampun dan maaf. Dia kena fikir sendirilah. Dia nak gunakan ibu sebagai bahan politiknya mahu mak sokong dia. Orang lain boleh dia rasuah tapi ibu tak boleh macam tu. Bagaimana kami nak halalkan benda-benda ini dalam keluarga Ustaz Ali (bin Omar yang meninggal dunia pada 1999 ketika berusia 79 tahun) sebab satu Klang Gate tahu dia guru agama. Kenapa nak halalkan kemungkaran. Saya ada sebab dedahkan kebenaran semua ini tentang Azmin. Kalau dia terlepas menjadi pemimpin, ini berbahaya kepada negara.