Showing posts with label Utusan Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Utusan Malaysia. Show all posts

Tuesday, August 2, 2011

Rakyat Sambut Baik Mengundi Di Luar Negara

Sumber dari Utusan Malaysia, sila klik sini.


KUALA LUMPUR 2 Ogos — Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji bagi membolehkan rakyat dan pelajar Malaysia yang berada di luar negara mengundi pada pilihan raya umum ke-13 akan datang menerima maklum balas positif.

Beberapa pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara berkata ia akan membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab untuk mengundi dan memilih kerajaan seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.

Namun begitu ia perlu dilakukan sebaik mungkin dan mengenakan syarat dan peraturan tertentu supaya ia tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Pelajar University of Nottingham, United Kingdom, Anita Adnan, 39, berkata cadangan SPR itu boleh dilaksanakan tetapi semua usaha dan prosesnya perlu telus dan jujur.

Pelajar tahun akhir pengajian Doktor Persuratan itu berkata masalah mengendalikan pengundian berselerak di serata dunia ialah terdapat ruang dan peluang bagi pihak tertentu memanipulasi peti undi dan bilangan undi.

"Ia perlu dilakukan bersistem dan rapi terkawal, kalau tidak ia tidak perlu diadakan langsung," katanya ketika dihubungi melalui laman sosialnya.

Semalam Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata perkara itu kini dalam peringkat kajian, termasuk mendapatkan pandangan Penasihat Undang-undang SPR sama ada langkah itu membabitkan pindaan undang-undang.

Katanya, sekiranya ia boleh dilaksanakan, pelajar dan pekerja Malaysia yang berada di luar negara boleh melakukannya di pejabat kedutaan di luar negara.

Antara masalah yang dihadapi kedutaan ialah kesukaran untuk mengenal pasti alamat sebenar kerana ramai yang tidak mendaftarkan keberadaan mereka kepada kedutaan, kata Abdul Aziz.

Seorang kakitangan swasta sebuah syarikat arkitek di Wellington, New Zealand, Mohd Syafieq Lee Abdullah, 47, berkata beliau bersetuju dengan cadangan itu tetapi pada masa sama proses itu hendaklah dipantau bersama oleh parti pembangkang.

"Syarat ini mesti dipatuhi sama seperti proses yang diadakan di Malaysia," katanya yang berasal dari utara semenanjung yang sudah 20 tahun berkelana sejak mengikuti pengajian di sebuah universiti di Wellington.

Pelajar pasca graduan jabatan akaun Victoria University of Wellington, Nor Balkish Zakaria berkata sekiranya cadangan ini dapat dilaksanakan, ia satu langkah yang ditunggu-tunggu kerana sebagai rakyat Malaysia, mereka juga mahu menunaikan tanggungjawab mengundi yang selama ini tidak kesampaian.

"Mekanisme pengundian perlu telus supaya tidak ada ruang untuk dikritik," kata Pensyarah Akauntansi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat yang sedang menyambung pelajaran di Nottingham, United Kingdom.

Zulazli Mohd Aziz, 39, yang sudah empat tahun berada di perantauan berkata undi di luar negara boleh dilaksanakan, tetapi setiap warga Malaysia yang berada di luar negara perlu menyokong cadangan itu.

Beliau juga mempersoalkan apakah rasional pengundian di luar negara yang dicadangkan, dan adakah ia berbaloi diadakan berbanding jumlah rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengikut peratusan dan statistik.

"Kalau habis duit untuk persediaan mengundi tetapi mereka tidak hadir mengundi bukankah ia satu pembaziran duit kerajaan? Jangan nanti banyak dana yang dibelanjakan hanya untuk mendapat undi yang sedikit," kata bapa kepada tujuh anak itu. — BERNAMA

Nota YMIS: Ramai warganegara Malaysia yang berada di luar samada sedang belajar atau bekerja tidak mempunyai maklumat betul, lengkap dan sahih mengenai iklim politik Malaysia terkini. Mereka lebih banyak membaca dari blog-blog 'sensasi' pro-pembangkang serta youtube yang telah dimanipulasi. Mentaliti rakyat Malaysia di luar negara amat berbeza terutamanya yang bekerja. Antara alasan mereka perlu bekerja di luar negara ialah kerana kerajaan tidak adil, kerajaan tidak menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi, "kalau di Malaysia mana nak dapat gaji sebegini besar", dan kebanyakkan mereka kecewa dengan sistem syarikat. Persoalannya ialah apakah ini semua silap kerajaan atau sistem itu memang amalan syarikat swasta tempat mereka mencari rezeki?

YMIS menyokong cadangan SPR untuk memberikan peluang kepada warga Malaysia di luar negara untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sama-sama mengundi dalam PRU-13 nanti. YMIS mempunyai ramai rakan-rakan yang bekerja di luar negara dan mereka mengikuti setiap perkembangan politik mahupun sosio-ekonomi Malaysia. Mereka boleh membuat perbandingan wajar dan saksama mengenai kehidupan sebagai perantau dan di negara sendiri. Malaysia masih negara terbaik buat rakyat Malaysia, walau hakikatnya hujan emas di negara orang.....

Monday, July 25, 2011

Pas Dicabar Berani Tuntut Lebih Kerusi

 Sumber dari Utusan Malaysia, 26 Julai 2011. Sila klik di sini.

KUALA LUMPUR 25 Julai - Pas hari ini dicabar supaya berani berhadapan dengan DAP dalam menuntut jumlah kerusi yang lebih besar pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut pengendali blog RBF Online (ruangbicarafaisal.blogspot.com), jika benar Pas mahu menggantikan UMNO, mereka juga perlu berani mengumumkan bahawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri perlu dipegang oleh parti itu jika pembangkang menang dalam pilihan raya nanti.

"Kalau Pas benar-benar nak ganti UMNO mereka mesti umum seperti itu, barulah kata-kata mereka boleh dipercayai. Saya sendiri pun berani sokong Pas kalau mereka berani umum tanpa sebarang bantahan daripada DAP.

"Jawatan Pengerusi pakatan pembangkang dipegang oleh Pas, Jawatan Timbalan Pengerusi juga oleh Pas, Setiausaha, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran adalah daripada Pas termasuk jumlah kerusi yang Pas bertanding mesti lebih 50 peratus.

"Kalau kamu (Pas) nak ganti UMNO, kamu kena tunjuk kamu kuat dan berkuasa dalam pembangkang. Kamu mesti bertanding lebih daripada kerusi yang UMNO bertanding. Minta dengan DAP kamu nak 120 kerusi. Setakat 80 kerusi tak payah nak temberang orang Melayulah yang kamu boleh ganti UMNO," katanya.

Jelasnya, dalam 222 kerusi Parlimen, Barisan Nasional (BN) bertanding di semua kerusi dan daripada jumlah itu, kerusi yang ditandingi UMNO adalah 117.

"Bagaimana Pas kata mereka nak ganti UMNO kalau mereka hanya sasar bertanding di 80 kerusi Parlimen? Tak sampai 50 peratus pun.

"Itu pun kalau mereka dapat 80 kerusi tersebut. Buatnya DAP atau Karpal Singh berdehem sikit terus mereka kecut, tukar jadi 40 kerusi sahaja. Sejarah telah membuktikan banyak kali Pas terpaksa menyembah kepada DAP termasuklah yang masih segar dalam ingatan kita yang terjadi dua minggu lepas di Kedah.

"Dalam pilihan raya umum lalu, Pas hanya bertanding di 66 kerusi (Parlimen) dan menang 23 kerusi sahaja. Adakah DAP akan beri tambahan 14 kerusi lagi? Silap-silap kurang lagi daripada 66 kerusi yang mereka dapat," katanya.

Atas dasar itu, tambahnya, Pas hanya menipu orang Melayu semata-mata hendak mendapatkan undi.

"Bila dah dapat kuasa kelak, diserahkan kepada DAP. Mereka dapat jawatan menteri seorang dua, kemudian dilimpahi dengan projek dan wang oleh DAP, duduk diam-diam.

"DAP suruh tandatangan, mereka pun tandatangan. Cakap lebih sikit DAP sekeh kepala. Habis waktu pejabat, malam naik pentas ceramah pergi ceramah tipu Melayu lagi dan puja-puji DAP. Akhir sekali hancur negara," tegasnya.


NOTA YMIS: Sedih apabila sebuah parti yang dahulunya selama berpuluh tahun memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu kini tersungkur serta akur kepada pemimpin-pemimpin kafir laknatullah. Pemimpin-pemimpin kafir ini sudah semestinya mempunyai agenda untuk menghapuskan ketuanan Melayu, hak-hak sebagai seorang Islam akan dicarik-carik dan menjadikan Malaysia sebuah negara sekular yang menyamaratakan setiap penganut agama. Tiada lagi keistimewaan sebagai seorang Melayu dan Islam. Akhirnya bangsa Melayu merempat dan menjadi pengemis di bumi sendiri.

Pemimpin-pemimpin PAS sedar akan hakikat ini tetapi kerana tamakkan kuasa dunia dan gila berpolitik, mereka ketepikan itu semua asalkan cita-cita mereka untuk menjadi Pak Menteri tercapai. Mereka berangan-angan seperti Mat Jenin, ingin menggantikan UMNO dan menggadai segala prinsip dan maruah mereka sambil juak-juak pembangkang lain mentertawakan kebodohan dan kedangkalan mereka. Hakikatnya PAS itu sudah jauh terpesong dari landasan mereka.....