Showing posts with label PRU-13. Show all posts
Showing posts with label PRU-13. Show all posts

Sunday, September 18, 2011

Beratus Ribu Bangla Di Seludup Masuk Ke Malaysia Sebelum PRU-13???



KUALA LUMPUR 18 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan kononnya pekerja-pekerja Bangladesh di negara ini diberikan taraf kewarganegaraan dengan mudah untuk membolehkan mereka mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang. Tegas Timbalan Perdana Menteri, kerajaan tidak terdesak untuk berbuat demikian semata-mata bagi menjamin kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan akan membuat semakan sama ada dakwaan yang disiarkan di laman web Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed benar atau sebaliknya. ''Itu tidak benar. Saya tidak tahu sama ada sumber berita itu benar atau tidak, tetapi apa yang penting, apa yang didakwa itu tidak benar ''Saya mahu periksa sumbernya dari mana. Kita juga boleh minta penjelasan daripada pihak Bangladesh sama ada perkara itu benar dinyatakan oleh Perdana Menteri Bangladesh,'' katanya selepas merasmikan Konvensyen Parti Makkal Sakti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hari ini, laman web Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri Bangladesh menyiarkan laporan dengan memetik sumber yang mendakwa bahawa pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah. Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak pernah memberikan keistimewaan kepada mana-mana rakyat negara lain termasuk rakyat negara Bangladesh untuk diberikan taraf kewarganegaraan dengan mudah.

''Seseorang yang hendak jadi warganegara perlu melalui pelbagai proses, tempoh masa berapa lama sudah berada di sini, sama ada dia betul-betul tahu keadaan di sini dan sebagainya, sebagaimana yang biasa kita lakukan. "Tidak ada kita beri keistimewaan kepada warga Bangladesh. Apatah lagi dikaitkan dengan pilihan raya. Macam kita ini terdesak sangat nak minta orang seperti itu didaftarkan jadi warganegara dan kemudian menjadi pengundi," katanya.

Dalam pada itu beliau mengakui berita seumpama itu bertujuan untuk mengelirukan dan ada kemungkinan ia datang dari sumber-sumber tidak boleh digunakan. ''Saya tidak fikir itu satu kenyataan yang tepat dan betul. Kita akan minta kedutaan kita di sana membuat semakan berhubung dengan perkara ini,'' ujarnya.

YMIS: Rakyat boleh berfikir, semua ini angkara siapa, memberikan maklumat palsu dan bohong kepada NGO di Bangladesh. Mereka boleh menggunakan nama NGO di Malaysia dan konon-kononnya memberikan maklumat tepat kepada NGO di Bangladesh. Kerajaan BN tidak bodoh seperti mereka dan tidak terdesak untuk menggunakan modus operandi ini untuk mencari pengundi-pengundi bagi PRU13 nanti. tidakkah nanti kita boleh bezakan antara rakyat tempatan dan orang Bangla yang masih pelat berbahasa Melayu? (Oh! ramai juga rakyat Malaysia yang lahir di Malaysia dan besar di Malaysia masih pelat-pelat Cina dan India..chauvinist???). 

Berapa ratus ribu Bangla agaknya yang hendak diberikan kerakyatan untuk BN menang di PRU-13 nanti? Mana cukup setakat seratus atau dua ratus orang diseludup, pasti memerlukan beratus ribu Bangla untuk memastikan BN terus berkuasa. Apa butakah mata rakyat kalau jumlahnya hingga beratus ribu Bangla tiba-tiba mendapat kerakyatan? Mereka yang otak letak di lutut sahaja yang akan terus mempercayai berita tersebut bulat-bulat tanpa berfikir sejenak.

Kita tunggu pihak Kerajaan untuk membongkar isu ini dan memberitahu kepada rakyat perkara sebenar dan siapa dalang di sebalik pembohongan ini semua. Selepas Bangladesh, mungkin Indonesia yang kita sedia maklum parti-parti pembangkang mereka amat rapat dengan DSAI. Namun, rakyat tidak mudah diperbodohkan atau dibohongi oleh dakyah Pembangkang yang kini kelihatan semakin terdesak dan tertekan tanpa ada isu yang ingin dimainkan.

Tuesday, August 2, 2011

Rakyat Sambut Baik Mengundi Di Luar Negara

Sumber dari Utusan Malaysia, sila klik sini.


KUALA LUMPUR 2 Ogos — Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji bagi membolehkan rakyat dan pelajar Malaysia yang berada di luar negara mengundi pada pilihan raya umum ke-13 akan datang menerima maklum balas positif.

Beberapa pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara berkata ia akan membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab untuk mengundi dan memilih kerajaan seperti yang termaktub di dalam perlembagaan.

Namun begitu ia perlu dilakukan sebaik mungkin dan mengenakan syarat dan peraturan tertentu supaya ia tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Pelajar University of Nottingham, United Kingdom, Anita Adnan, 39, berkata cadangan SPR itu boleh dilaksanakan tetapi semua usaha dan prosesnya perlu telus dan jujur.

Pelajar tahun akhir pengajian Doktor Persuratan itu berkata masalah mengendalikan pengundian berselerak di serata dunia ialah terdapat ruang dan peluang bagi pihak tertentu memanipulasi peti undi dan bilangan undi.

"Ia perlu dilakukan bersistem dan rapi terkawal, kalau tidak ia tidak perlu diadakan langsung," katanya ketika dihubungi melalui laman sosialnya.

Semalam Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata perkara itu kini dalam peringkat kajian, termasuk mendapatkan pandangan Penasihat Undang-undang SPR sama ada langkah itu membabitkan pindaan undang-undang.

Katanya, sekiranya ia boleh dilaksanakan, pelajar dan pekerja Malaysia yang berada di luar negara boleh melakukannya di pejabat kedutaan di luar negara.

Antara masalah yang dihadapi kedutaan ialah kesukaran untuk mengenal pasti alamat sebenar kerana ramai yang tidak mendaftarkan keberadaan mereka kepada kedutaan, kata Abdul Aziz.

Seorang kakitangan swasta sebuah syarikat arkitek di Wellington, New Zealand, Mohd Syafieq Lee Abdullah, 47, berkata beliau bersetuju dengan cadangan itu tetapi pada masa sama proses itu hendaklah dipantau bersama oleh parti pembangkang.

"Syarat ini mesti dipatuhi sama seperti proses yang diadakan di Malaysia," katanya yang berasal dari utara semenanjung yang sudah 20 tahun berkelana sejak mengikuti pengajian di sebuah universiti di Wellington.

Pelajar pasca graduan jabatan akaun Victoria University of Wellington, Nor Balkish Zakaria berkata sekiranya cadangan ini dapat dilaksanakan, ia satu langkah yang ditunggu-tunggu kerana sebagai rakyat Malaysia, mereka juga mahu menunaikan tanggungjawab mengundi yang selama ini tidak kesampaian.

"Mekanisme pengundian perlu telus supaya tidak ada ruang untuk dikritik," kata Pensyarah Akauntansi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat yang sedang menyambung pelajaran di Nottingham, United Kingdom.

Zulazli Mohd Aziz, 39, yang sudah empat tahun berada di perantauan berkata undi di luar negara boleh dilaksanakan, tetapi setiap warga Malaysia yang berada di luar negara perlu menyokong cadangan itu.

Beliau juga mempersoalkan apakah rasional pengundian di luar negara yang dicadangkan, dan adakah ia berbaloi diadakan berbanding jumlah rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengikut peratusan dan statistik.

"Kalau habis duit untuk persediaan mengundi tetapi mereka tidak hadir mengundi bukankah ia satu pembaziran duit kerajaan? Jangan nanti banyak dana yang dibelanjakan hanya untuk mendapat undi yang sedikit," kata bapa kepada tujuh anak itu. — BERNAMA

Nota YMIS: Ramai warganegara Malaysia yang berada di luar samada sedang belajar atau bekerja tidak mempunyai maklumat betul, lengkap dan sahih mengenai iklim politik Malaysia terkini. Mereka lebih banyak membaca dari blog-blog 'sensasi' pro-pembangkang serta youtube yang telah dimanipulasi. Mentaliti rakyat Malaysia di luar negara amat berbeza terutamanya yang bekerja. Antara alasan mereka perlu bekerja di luar negara ialah kerana kerajaan tidak adil, kerajaan tidak menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi, "kalau di Malaysia mana nak dapat gaji sebegini besar", dan kebanyakkan mereka kecewa dengan sistem syarikat. Persoalannya ialah apakah ini semua silap kerajaan atau sistem itu memang amalan syarikat swasta tempat mereka mencari rezeki?

YMIS menyokong cadangan SPR untuk memberikan peluang kepada warga Malaysia di luar negara untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sama-sama mengundi dalam PRU-13 nanti. YMIS mempunyai ramai rakan-rakan yang bekerja di luar negara dan mereka mengikuti setiap perkembangan politik mahupun sosio-ekonomi Malaysia. Mereka boleh membuat perbandingan wajar dan saksama mengenai kehidupan sebagai perantau dan di negara sendiri. Malaysia masih negara terbaik buat rakyat Malaysia, walau hakikatnya hujan emas di negara orang.....