Wednesday, July 20, 2011

Mukaddimah: The Saga Begins.....

Assalamu'alaikum dan salam 1Malaysia.

Menegakkan yang hak dan membanteras yang batil. Terlalu banyak blog-blog pro-pembangkang yang merekayasa fitnah secara terang-terangan, menyebarkan cerita-cerita (dakyah?) yang tidak tepat atau langsung tidak tepat di alam siber ini. Dan ramai pula mempercayai mereka dan menjadi pengikut tegar yang langsung susah untuk 'bertaubat' pulang ke pangkal jalan dengan menerima realiti dan fakta yang betul lagi sahih. Mereka seolah-olah sudah 'dipukau' dengan berita dan cerita sensasi mereka, dan apa sahaja maklumat sahih, bukti dan fakta yang cuba diterangkan pasti mereka tolak mentah-mentah tanpa menggunakan akal fikiran, emosi semata-mata kerana bencikan kepimpinan yang ada sekarang. Mereka tidak adil kepada diri mereka sendiri sebenarnya dalam hal ini, mereka tidak mahu menggunakan akal serta kewarasan dalam menilai sesuatu cerita atau berita. Mereka menyekat minda sendiri dari mahu mengimbangi yang hak dan batil, yang tulen mahupun palsu, mereka sedaya upaya tidak mahu mengakui kesilapan mereka mahupun menerima kebenaran yang sudah jelas di depan mata.

Terlalu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN sebelum ini, terutamanya pemimpin UMNO dalam memastikan kelangsungan bangsa Melayu dan agama Islam yang dianuti serta keharmonian di antara pelbagai kaum dan etnik di Malaysia. Kemakmuran negara yang kaya dengan pelbagai sumber alam ditangani dengan baik sehingga Malaysia boleh berbangga dengan ekonominya pada hari ini, berbanding dengan negara-negara jiran mahupun negara-negara yang sedang membangun di setiap benua.

Namun masih ramai tidak bersyukur dengan apa yang telah dan sedang kita kecapi pada hari ini. Puak-puak pembangkang cuba mengkucar-kacirkan keamanan yang menjadi lambang sinonim Malaysia di mata dunia. Ekonomi yang sedang rancak berkembang dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh Perdana Menteri akan mula terjejas sekiranya tiada kestabilan politik. Malaysia menuju ke arah sebuah negara moden yang teratur, harmoni dan disanjung oleh banyak pihak terutamanya negara-negara Islam. Kita model sebuah negara Islam yang progressif tetapi fundamental, moden tetapi masih kuat akar-umbi tatasusila serta adat ketimuran yang bertunjangkan Islam. Kita mempunyai sistem demokrasi acuan sendiri dan tidak terikut-ikut dengan Barat, kita mempunyai pelbagai etnik yang berlainan agama dan pegangan, kita mempunyai sistem pemerintahan yang diakui dunia, kita mempunyai Yang Di-Pertuan Agung sebagai lambang kerajaan yang berdaulat dan pelindung keluhuran perlembagaan yang akan terus memastikan Islam sebagai agama rasmi dan bangsa Melayu sebagai bangsa berdaulat di bumi Malaysia.

Kita sama-sama membesar di dalam pemerintahan kerajaan BN. Penulis Yang Merah Itu Saga lahir di sekitar tahun 1970'an dalam suasana ekonomi Malaysia yang masih merangkak tetapi mempunyai visi yang jelas arah-tujunya. Dengan jumlah ahli keluarga yang agak besar, Penulis masih berpeluang untuk bersekolah, bermula dengan pra-sekolah secara percuma di sebuah balai polis berdekatan. Seterusnya persekolahan rendah juga dikenakan yuran yang amat rendah tetapi berkualiti, buku-buku sekolah diberi percuma, dan pada satu tahap makanan juga diberikan percuma oleh pihak Kerajaan kepada mereka yang datang dari keluarga yang kurang mampu. Persekolahan menengah juga dikenakan yuran yang sangat-sangat minimal memandangkan Penulis datang dari keluarga yang berpendapatan rendah dan mempunyai ramai adik-beradik. Bukan setakat yuran persekolahan yang dikenakan amat rendah, malah diberi biasiswa pula untuk meringankan beban membeli buku-buku rujukan dan seragam sekolah. Kesemua adik-beradik seramai 5 orang yang bersekolah sekitar tahun 1980'an sehingga pertengahan 1990'an menerima wang biasiswa dari Kerajaan! Klinik pergigian juga disediakan di sekolah, percuma untuk semua. Selain dari biasiswa yang diberikan semasa bersekolah menengah, kami juga diberikan hadiah dan sedikit wang serta diraikan oleh Pemimpin-pemimpin UMNO di kawasan atau bahagian Penulis kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan besar seperti Penilaian Darjah 5 atau UPSR, SRP atau PMR dan SPM.

Keluarga Penulis sebelum itu menyewa sebuah rumah kecil di sebuah pekan kecil yang majoritinya masyarakat keturunan Cina. Sedari kecil Penulis didedahkan untuk hidup harmoni dengan bangsa-bangsa lain, dan Penulis tidak berasa janggal makan duduk semeja dan melakukan aktiviti bersama dengan bangsa-bangsa lain. Tidak pernah ada rasa prejudis atau rasis, yang ada cuma rasa muafakat, dan berlumba-lumba untuk cemerlang dalam pelajaran. Dari rumah sewa kecil, kami berpindah ke rumah konkrit yang jauh lebih selesa hasil ehsan Kerajaan di mana ayah penulis bertugas. Setiap bulan akan dipotong dari gaji ayah sekitar RM100 untuk melunaskan sewa-beli rumah. Hampir setiap malam diadakan RT atau Rukun Tetangga menjaga ketenteraman penduduk di kawasan perumahan tersebut. Melayu, Cina, India dan Serani sama-sama bersengkang mata menjalankan rutin RT. Kami sama-sama menyambut Aidilfitri dengan mereka datang berkunjung ke rumah, Tahun Baru Cina pula kami sama-sama bermain mercun, tanglung dan menerima angpow serta buah Mandarin. Kami juga berkunjung ke rumah warga India untuk merasa itli dicicah bersama kari kambing dan maruku yang ranggup.

Penulis dan 2 orang adik yang lain menuntut di Universiti-universiti tempatan, Universiti Kerajaan. Penulis di UiTM, menara gading khas untuk orang-orang Melayu dan Bumiputra. Penulis sangat bersyukur kerana terpilih untuk menuntut ilmu di sini, pertamanya kerana yuran yang dikenakan amat rendah. Penulis membayar sekitar RM300 sahaja untuk satu semester, ini sudah termasuk yuran peperiksaan, yuran pengajian, hostel yang selesa, makan-minum di hostel sebanyak 4 kali sehari!!!! Bangsa Melayu patut belajar dan tahu sejarah penubuhan MARA, sehinggalah terbinanya ITM dan diangkat menjadi Universiti semasa pemerintahan PM Tun Mahathir. Penulis sangat aktif dalam persatuan pelajar, pertamanya ingin menyedarkan bangsa Melayu akan pentingnya mempersiapkan diri dari dalam Universiti lagi untuk menghadapi dunia pekerjaan di luar nanti. Juga penglibatan dalam kepimpinan pelajar supaya tahu selok-belok berpolitik, supaya bersiapsiaga menggalas amanah yang diberikan apabila bercampur dengan masyarakat di luar terutama apabila terlibat dengan parti-parti politik.

Memasuki alam pekerjaan, Penulis rasa terpanggil untuk membalas budi Kerajaan BN dan UMNO lantas mendaftar sebagai ahli Pemuda UMNO di kawasan tempat Penulis dibesarkan. Nawaitu yang utama ialah ingin memberikan bantuan dan khidmat kepada pemuda-pemuda kawasan dalam bidang pendidikan. Dipendekkan cerita, Penulis dan adik-adik yang lain berkecimpung dalam UMNO, sebagai tanda bersyukur dan membalas budi dan jasa BN serta UMNO sehingga kami boleh menjejakkan kaki ke menara gading tanpa keluarga kami bersusah-payah mengeluarkan belanja besar. Pendidikan kami ditanggung oleh Kerajaan BN dan UMNO dari pra-sekolah sehinggalah ke peringkat Universiti. Kami tidak nampak langsung apa kecacatan dan keburukkan yang Kerajaan BN serta UMNO lakukan kepada keluarga kami. Kerajaan BN dan UMNO telah menjaga Penulis dengan baik, bersungguh-sungguh memberikan peluang luas untuk berjaya, menaikkan taraf ekonomi keluarga Penulis sehingga boleh merasai senang dan selesa pada hari ini. Tidak ada sebab untuk Penulis dan keluarga membenci dan memfitnah Kerajaan BN dan UMNO setelah segala budi dan jasa yang telah diberikan. Setiap Kerajaan yang memerintah di mana-mana negara sekalipun, pasti tidak sempurna dan ada kecacatan dan kegagalan, seperti juga BN dan UMNO namun Kerajaan BN dan UMNO masih sangat relevan dan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu Islam.

Kini Penulis YMIS sama-sama mahu berjuang di alam siber bagi menyanggah kebatilan pihak-pihak pro-pembangkang dan memperkukuhkan sokongan kepada UMNO dan pro-BN.

No comments:

Post a Comment